Pemandu, penumpang Toyota Hilux maut langgar pokok di Sandakan

editor@bayunews.net

SANDAKAN (21 MAC): Dua lelaki masing-masing berumur 22 tahun meninggal dunia selepas pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang pokok di Batu 5 Jalan Labuk, di sini, pada kira-kira jam 1 pagi tadi.

Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Batu 4 menghala ke Taman Mawar.

Menurut Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek yang mengesahkan kejadian itu berkata, pacuan empat roda mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke pembahagi jalan lalu merempuh pokok.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu disahkan maut di lokasi kejadian, manakala penumpangnya meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Abdul Fuad berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya melakukan operasi menyelamat dengan mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dari pacuan empat roda berkenaan.

Operasi ditamatkan pada jam 1.49 pagi.