Pemandu parah insiden kemalangan lori 10 tan di Tuaran

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.com

TUARAN (26 OKT): Tiga lori 10 tan bawa muatan tanah terlibat kemalangan mengkibatkan seorang parah dan dua cedera di Perumahan Taman Sri Gayang Jalan Sulaman kelmarin.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 9.27 pagi menerusi talian MERS 999.

Sepasukan anggota bersama jentera diketuai Pegawai Operasi, PBK II Norkijan Durudin dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikejarkan ke lokasi kejadian 20 kilometer dari BBP.

Menurutnya, sebuah lori telah menghempap dua lagi lori yang berada di bawah lereng bukit di kawasan itu.

“Terdapat dua mangsa lelaki termasuk seorang mangsa iaitu pemandu lori tersepit.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan jentera bomba.

“Seorang lagi mangsa iaitu pemandu lori yang dihempap berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan pada jam 11.40 pagi.