Pemandu nyaris maut, insiden kenderaan masuk gaung di Ranau

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

RANAU (3 JAN): Seorang lelaki berusia 37 tahun berdepan detik cemas selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 7 meter di Bukit Botak, Kampung Nabutan, dekat sini, semalam.

Kemalangan yang berlaku pada jam 6.30 itu memaksa kenderaan mangsa ditarik keluar menggunakan tali penyelamat.

Menurut kenyataan Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.39 petang itu.

Difahamkan, kenderaan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.

“Pasukan Bomba menjalankan operasi penyelamat dengan mengeluarkan mangsa menggunakan tali penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, mangsa turut diberi rawatan awal menerusi anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan(EMRS).

Sejurus itu, mangsa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 7.46 malam.