Pemandu lelaki rentung insiden kereta bertembung di Jalan Kg Tambalugu Tuaran

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

TUARAN (16 DIS): Seorang pemandu kereta Perodua Bezza rentung selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan kereta Perodua Myvi di Jalan Kg Tambalugu, petang kelmarin.

Mangsa Mohd Fairus Jasni, berusia 38 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas disahkan oleh pegawai perubatan sejurus kereta yang dipandu mangsa terbakar 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abd. Qawie Abdul Gapar berkata, kemalangan berlaku pada jam 4.30 petang.

Jelasnya, sepasukan pegawai serta anggota dari (BBP) Tuaran bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

Mayat mangsa dikeluarkan oleh pasukannya selepas keadaan dapat dikawal pada pukul 5.10 petang.

Sementara itu, mangsa dalam Perodua Myvi merupakan anak beranak terdiri seorang wanita berusia 33 tahun dan kanak-kanak lelaki 5 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi ditamatkan pada jam 7.25 malam.