Pemandu 45 tahun nyaris maut, lori terjunam ke dalam sungai di Kota Marudu
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA MARUDU (5 JAN): Seorang pemandu lori berusia 45 tahun nyaris maut selepas lori yang dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam sungai di Jalan Kampung Mengaris, dekat sini pagi tadi.
Difahamkan, kemalangan kira-kira jam 8 pagi itu berlaku melibatkan sebuah lori Nissan UD.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, siasatan awal mendapati lori tanpa muatan itu sedang dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Pitas.
“Apabila tiba di tempat kejadian iaitu di Jambatan Kampung Mangaris 3, lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jambatan sebelum terbabas jatuh ke dalam sungai.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami cedera di tangan, luka kecil di kepala serta badan.
“Mangsa yang terselamat itu berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu dan Kota Belud,” katanya ketika dihubungi di sini.
Jelasnya lagi, mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.
Hasil siasatan di lokasi mendapati faktor bentuk jalan menurini bukit dan cuaca hujan mengundang jalan basah dan licin.
Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.