Pemain Bolasepak SK Perancangan rangkul Anugerah Pemain Terbaik MSS Sabah

BELURAN : Sekolah Kebangsaan (SK) Perancangan sekali lagi melakar sejarah apabila melahirkan pemain bola sepak berbakat sekaligus berjaya merangkul Anugerah Pemain Terbaik Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) yang berakhir pada Ahad.

Guru Besar SK Perancangan, Aning Enong berkata, murid mereka iaitu Mohd Aqmar Zulkarnain Kamri, 12 tahun antara pemain mereka yang mewakili daerah Pasukan Beluran dalam kejohanan berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini seramai dua orang murid sekolah mereka terpilih mewakili Daerah Beluran.

“Hasilnya Mohd Aqmar Zulkarnain dinobatkan sebagai pemain terbaik MSSS dan turut terpilih mewakili Sabah ke peringkat Kebangsaan tahun ini.

“Sebelum ini, murid ini turut pernah menerima anugerah Pemain Terbaik Peringkat Zon Pamol dan Pemain Terbaik Daerah Beluran.

“Sesungguhnya, pihak sekolah sangat berbangga dengan pencapaian Mohd Aqmar Zulkarnain yang mengharumkan nama sekolah, ” katanya ketika dihubungi, pada Isnin.

Aning berkata, disebalik kejayaan itu barisan kejurulatihan dan pengurusan turut memainkan peranan penting.

“Kita turut zahirkan penghargaan terima kasih kepada Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran, Jurulatih bola sepak PPD Beluran, Jurulatih SK Perancangan iaitu Cikgu Ramli Ahmad dan Ustaz Muhammad Nurdin Hashim dan semua guru yang terlibat.

“Tanpa mereka, pastinya sukar mencapai kejayaan berkenaan,” katanya.

Kejohanan Bola Sepak MSSS kali ini diadakan di Beluran dan daerah berkenaan menduduki tempat kedua secara keseluruhan selepas berentap di peringkat akhir dengan daerah Keningau.

Walaupun tewas 1 berbalas 6, namun pemain terbaik kejohanan berjaya dirangkul pemain Beluran.