Pelbagai perancangan, pembangunan terus dilaksanakan di DUN Lumadan
Beaufort : Pelbagai perancangan dan pembangunan akan terus dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan bagi memastikan keselesaan penduduk setempat sentiasa terjaga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata, beliau tidak menunggu lama untuk melaksanakan perancangan dan mengenal pasti masalah yang dihadapi rakyat sebaik dipilih sebagai wakil rakyat.
“Saya difahamkan ada tohmahan bahawa ada isu mengatakan ADUN Lumadan tiada perancangan untuk kawasan ini. Pertamanya mereka itu sendiri dilihat telah menuduh kita dan seperti yang kita lihat hari ini, pelbagai program, aktiviti dan perancangan untuk rakyat telah kita laksanakan.
“Sebelum ini kita ada masalah mengenai isu air bersih, hampir keseluruhan DUN Lumadan mempunyai masalah air yang sangat kritikal termasuklah kampung saya.
“Tapi dengan adanya Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dalam masa satu tahun setengah kita telah dapat selesaikan masalah ini sebaik di beri tanggungjawab sebagai wakil rakyat berbanding pemimpin lepas yang hampir 30 tahun isu tidak pandai selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuaray tahunan cawangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Zon Satu bagi tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Lumadan di sini hari ini.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, selain itu, isu banjir yang melanda dibeberapa kawasan di DUN Lumadan juga turut berjaya diselesaikan.
Katanya, ini termasuklah membersihkan kawasan sungai terlibat bagi membolehkan aliran air dapat disalurkan dengan lancar bagi mengelakkan situasi banjir berlaku.
“Maknanya kalau dulu banjir berbulan-bulan,kini dalam beberapa hari ianya akan surut dan kita akan teruskan pembersihan sungai selain membesarkan sungai agar isu banjir dapat diatasi dengab segera.
“Tidak cukup itu, kita juga telah membina beberapa dewan perpaduan DHRM yang sudah dibina, sudah ada tujuh buah dan ianya akan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat termasuk mengadakan majlis perkahwinan dan lain-lain.
“Pada 2021 di Weston kita juga telah bawa dalam sidang DUN, klinik desa yang daif kini telah dibina baru selain beberapa kedai akan dibina dikawasan itu,” katanya.