Pelbagai kesalahan direkod dalam Op selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina di Sabah
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (27 JAN): Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023 merekodkan lima kemalangan maut, 25 kes pecah rumah dan 19 individu ditahan dengan pelbagai kesalahan, di sini.
Menurut kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata operasi yang dijalankan selama sembilan hari itu mencatatkan sejumlah 409 kemalangan jalan raya.
Jelasnya, kadar kemalangan pada Op Selamat 19 menunjukkan peningkatan sebanyak 106 kes berbanding tempoh sama pada Op Selamat 17.
“Bagi kes kemalangan maut, Op Selamat 19 mencatatkan lima kemalangan maut berbanding Op Selamat 17 yang mencatatkan enam kematian.
“Sebanyak 25 kes dilaporkan bagi kes pecah rumah bagaimanapun tiada kejadian kes pecah rumah bagi tuan rumah yang memaklumkan kepada pihak polis untuk pulang bercuti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Idris berkata pihaknya menerima 100 laporan borang balik kampung dan sejumlah 1,189 lawatan ke semua rumah-rumah terlibat.
“Bagi tempoh sama kita juga menjalankan 157 operasi dan sebanyak 6,845 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“19 individu ditahan mengikut Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana mabuk dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.
“44 kenderaan pelbagai jenis turut dirampas dan disita atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, Idris berkata, pihaknya berharap semua lapisan masyarakat dan pengguna jalan sentiasa berhati-hati serta mengamalkan sikap tolak ansur semasa memandu di jalan raya.
“Keselamatan di jalan raya adalah menjadi tanggungjawab bersama agar kita dapat mengurangkan jumlah kemalangan semasa musim perayaan ini.
“Semoga perayaan Tahun Baru Cina 2023 ini disambut dengan meriah dan selamat,” katanya.