Pelbagai acara diadakan sempena Hari Malaysia peringkat negeri Sabah
KOTA KINABALU : Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah yang akan berlangsung pada 16 September ini menjadi satu detik bersejarah yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia khususnya di Sabah.
Program yang akan berlangsung di Padang Merdeka itu akan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan dan acara menarik seperti tahun-tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, segala persiapan kini berjalan lancar dan telah sedia sepenuhnya bagi memastikan kelancaran serta kemeriahan sambutan pada tahun ini.
Katanya ,pemilihan tema kali ini menekankan usaha memupuk perpaduan, semangat cintakan negara dan menonjolkan nilai integriti serta jati diri dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tambahnya lagi, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah Datuk R.M. Jasni dijadual berangkat sebagai tetamu utama pada majlis yang bakal bermula jam 7 malam itu.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Isteri serta barisan jemaah kabinet negeri Sabah.
Bung berkata, konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 yang telah berlangsung sepanjang bulan kemerdekaan akan berakhir pada malam 16 September dimana Ketua Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia akan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Tun Juhar.
“Pelbagai program serta pertandingan lain turut diadakan sempena sambutan tahun ini dengan harapan ianya dapat memupuk serta menyamai semangat patrotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Antaranya Seminar Identiti Etnik Sabah Keluarga Merdeka, Pertandingan E-Culture Gaming, Tik Tok Hari Malaysia, Challenge, Program Info On Wheel Berjalan Teguh Bersama Pemeran Kemerdekaan,” katanya.
Selain itu Bung berkata, antara program lain yang diadakan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah ialah mengadakan majlis bacaan tahlil dan doa munajat Peringkat Negeri Sabah dan Khutbah Khas Solat Jumaat di seluruh masjid di negeri ini.
Bagi malam kemuncak sambutan pula antara acara yang bakal diadakan persembahan khas dari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang akan menampilkan persembahan yang unik dan menarik bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama selain persembahan hiburan dari artis-artis tempatan.
Selain itu penyampaian Sijil Khas Penghargaan kepada atlet-atlet antara empat atlet yang memenangi pingkat emas dalam sukan Pencak Silat Juara Dunia dan seorang atlet Juara Remaja Dunia dalam sukan Muaythai.
Sehubungan dengan itu Bung mengajak orang ramai khususnya yang tinggal di Kota Kinabalu dan sekitarnya hadir beramai-ramai bukan sahaja untuk memeriahkan sambutan kali ini sekali gus menzahirkan rasa kasih sayang dan semangat patriotik kepada negara.