Pelajar sekolah ditikam selepas bergelut dengan pencuri

editor@bayunews.net

SHAH ALAM (17 OKT): Seorang pelajar sekolah dekat sini cedera di bahagian perut selepas bergelut dengan pencuri yang memecah masuk kediaman mereka lewat Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata dalam satu laporan Utusan Malaysia, kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu mangsa berusia 15 tahun tinggal berdua bersama abangnya yang berusia 17 tahun.

“Ketika kejadian mangsa masuk ke dapur untuk minum air, namun terserempak dengan suspek yang ketika itu bersembunyi di tepi mesin basuh.

“Selepas itu, berlaku pergelutan di antara mangsa dan suspek yang juga warga tempatan bertindak menikam perut mangsa menggunakan sebatang pemutar skru,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang cedera terpaksa dikejarkan ke hospital Shah Alam bagi menerima rawatan dan kini ditempatkan di wad biasa serta berada dalam keadaan stabil.

Menurut Mohd. Iqbal, pemeriksaan yang dijalankan pihak hospital mendapati terdapat kecederaan luka kecil di perutnya.

“Manakala siasatan bagi kes itu mendapati suspek telah masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang dan dipercayai hendak melakukan jenayah pecah rumah.

“Kami mengesyaki pemutar skru berkenaan digunakan untuk mengumpil rumah mangsa,” ujarnya.

Mohd. Iqbal memohon orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit untuk segera menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohamad Zulkifli Mohamad di talian 01116958529 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun serta mendatangkan kecederaan.

“Pihak hospital kini sedang berurusan dengan keluarga mangsa untuk mendapatkan persetujuan membuat pembedahan kerana mangsa sebelum ini pernah menjalani pembedahan apendiks di bahagian perut yang sama,” katanya.