
Pekerja kontrak berasal Putatan ditemui lemas di Labuan

editor@bayunews.net
LABUAN (6 MAC): Seorang pekerja kontrak dari Putatan, Sabah ditemui meninggal dunia yang dipercayai lemas ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah jeti, dekat sini.
Mangsa dikenali sebagai Zamri Lamuseng, berusia 27 tahun itu bekerja dibawah syarikat kontraktor kecil melaksanakan tugas di jeti kendalian Shell Timur Sdn Bhd.
Difahamkan, mangsa telah terjatuh ke dalam laut sebelum ditemukan pasukan bomba yang melakukan selaman pada kedalaman 16 meter.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Riham Abdollah mengesahkan kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Labuan, Superintendan Ahmad Jawilla berkata, mangsa bersama empat pekerja lain sedang melakukan pemasangan perancah.
“Kesemua mereka tiba di jeti pada jam 6 pagi, namun pada jam 11 pagi rakan mangsa menyedari kehilangan mangsa selepas menemukan topi keselamatan yang dipakainya terapung berdekatan jeti.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu supaya memaklumkan kepada balai polis Labuan bagi membantu siasatan,” katanya.