Pejabat DUN Lumadan sasar hantar bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir

Beaufort : Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan menyasarkan untuk menghantar 8,860 sumbangan bakul makanan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir dalam tempoh seminggu.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, daripada jumlah itu, 3,000 bakul makanan akan dihantar di kawasan kritikal iaitu Zon Bangkalalak dan Zon Suasa.

Katanya, sumbangan itu akan diagih kepada penduduk di sepanjang Jalan Weston yang terputus hubungan akibat banjir.

“Sekarang ini kita telah mengumpul data lebih kurang dalam 8,860 KIR yang melibatkan 81 buah kampung. Penduduk terjejas lebih kurang dalam 30,000,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan pembungkusan bakul makanan di Pejabat DUN Lumadan di sini semalam.

Katanya, meskipun air mula surut di beberapa kawasan, namun masih terdapat laluan yang belum boleh dilalui oleh kenderaan ringan, terutamanya di Zon Bangkalalak dan Zon Suasa.

“Oleh itu, kita sedang mengutamakan penghantaran bakul makanan ke kawasan-kawasan yang masih terputus hubungan di zon-zon ini,” katanya.