Pecah masuk premis di Tawau, lelaki warga asing ditahan

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

TAWAU (24 NOVEMBER): Seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun ditahan kerana dipercayai memecah masuk sebuah kedai di Kampung Melati, Burut, semalam.

Hasil maklumat orang awam, suspek yang mencuri wang dan kad tambah nilai itu berjaya diberkas kira-kira jam 11.22 pagi di kawasan Ladang Tiger.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmi Hussin berkata, pihaknya menerima aduan mengenai sebuah kedai dipecah masuk oleh seorang lelaki.

Siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan pemeriksaan ke atas tubuh suspek didapati lima keping kad tambah nilai serta sejumlah wang ditemukan didakwa hasil kegiatan curi itu.

“Suspek terbabit dan barang yang berjaya dirampas kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bombalai untuk siasatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan di sini.