
PBS sentiasa jaga, kukuhkan perpaduan berbilang kaum di Sabah

Kota Kinabalu : Parti Bersatu Sabah (PBS) sentiasa menjaga dan mengukuhkan perpaduan berbilang kaum menerusi pelbagai perayaan masyarakat di negara ini khususnya di Sabah.
Naib Presiden PBS Datuk Ruslan Muharam berkata, sambutan perayaan yang disambut dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat pelbagai etnik dan budaya.
“Pada hari ini kita telah mengadakan Rumah Terbuka yang dianjurkan oleh PBS, dimana kita adakan secara sederhana dan kita juga telag memberi sumbangan kepada anak-anak yatim dari rumah anak-anak yatim As-Sakinah seramai 32 orang.
“Ini bukan pertama kali tapi pada setiap tahun kita telah adakan majlis seumpama ini sebagai tanda kesyukuran kita bagi yang muslim selepas melaksanakan puasa selama sebulan,” katany.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri PBS di Dewan Hakka di sini.
Hadir sama Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, majlis yang diadakan bukan hanya tertumpu kepada Hari Raya Aidilfitri, namun turut diberi perhatian kepada sambutan perayaan lain.
Katanya, ini termasuklah perayaan Krismas, Tahun Baru Cina dan beberapa perayaan lain.
“Ini sangat sinonim dalam PBS yang sentiasa menjaga dan mengukuhkan perpaduan berbilang kaum sebagai satu parti multiracial,” katanya.