PBS sedia pastikan GRS capai kemenangan meyakinkan pada PRN akan datang
Kota Kinabalu : Parti Bersatu Sabah (PBS) sedia untuk memastikan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mampu mencapai kemenangan meyakinkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai berkata, parti itu telah berjaya menghasilkan pelbagai inisiatif baharu yang dirangka menerusi pemukiman yang diadakan selama dua hari berakhir semalam.
Katanya, pemukiman itu turut dihadiri pimpinan pusat dan pemimpin bahagian seluruh Sabah.
Tambahnya, parti itu juga telah mengenal pasti beberapa kerusi yang diharap dapat diberi peluang untuk bertanding pada PRN akan datang selain mahu mengekalkaan tujuh kerusi yang disandang pada ketika ini.
PBS adalah komponen kedua terbesar dalam GRS yang dianggotai tujuh anggota diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor selepas Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
“Pemukiman itu telah berjaya, para peserta berkongsi pandangan jujur mereka, dan daripada maklum balas yang diterima, kami mendapat keistimewaan untuk menyenaraikan kekuatan dan kelemahan kami.
“Mereka juga membuat cadangan untuk membantu PBS yang lebih baik demi kebaikan parti dan semua ahli. Sebagai sebuah parti politik yang berpengalaman, kami dilatih untuk menghadapi sebarang cabaran, dan akan terus kekal relevan dengan sokongan daripada rakyat,” katanya.
Ketika membuat pembentangan, Joniston berkata, mereka juga percaya kepentingan meremajakan parti agar lebih menarik kepada generasi muda.
“Kita tidak boleh menafikan pengundi muda kini memainkan peranan dalam menentukan masa depan politik negeri, dan PBS perlu merebut peluang ini untuk meraih perhatian mereka dan bersama-sama kita memperjuangkan hak rakyat Sabah dan Sabah melalui parti kita.
“Pada masa yang sama, kita juga perlu memperkasakan ahli kita dan menyedari bahawa perjuangan ini adalah tanggungjawab kita bersama. PBS adalah milik kami untuk melindungi, dan wajar untuk mengatakan bahawa PBSku, Tanggungjawabku, Kebanggaanku (PBS Saya, Tanggungjawab Saya, Kebanggaan Saya),” katanya.