
PBS ALU-ALUKAN KEPIMPINAN KAUM TIONG HUA – JOACHIM
SANDAKAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengalu-alukan penyertaan serta kepimpinan daripada kaum Tiong Hua, sejajar dengan perjuangan parti yang bersifat inklusif dan berbilang kaum.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, berkata PBS kekal berpegang teguh kepada prinsip kesaksamaan (equality) dalam kalangan semua ahlinya tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.
“Perjuangan PBS tidak pernah luntur dan tidak pernah berubah. Kita mengamalkan kesaksamaan dalam kalangan semua ahli. Siapa sahaja yang layak memimpin parti, kita akan sokong sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kemasukan Ahli Baharu Parti Bersatu Sabah (PBS) anjuran PBS Bahagian N.56 Tanjung Papat di Dewan Pandu Puteri Batu 3, Sri Taman, di sini pada Ahad.
Menurut Joachim, menjelang ulang tahun penubuhan PBS ke-41, parti itu memerlukan barisan pemimpin terbaik daripada semua kaum, termasuk masyarakat Tiong Hua, bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti di Sabah.
Beliau turut menyentuh perubahan landskap politik negeri yang menyaksikan rakyat Sabah semakin cenderung menyokong calon daripada kaum Tiong Hua yang bertanding mewakili parti-parti tempatan dalam pilihan raya umum yang lalu.
“Di peringkat negeri, kita tidak mengira bangsa, agama dan fahaman politik. PBS akan terus membela nasib setiap penduduk Sabah.
Begitu juga dalam parti, kebajikan ahli sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Joachim menegaskan PBS merupakan sebuah parti politik yang benar-benar bersifat multiracial dan sentiasa terbuka menerima keahlian daripada pelbagai suku kaum di Sabah.
“Saya percaya keikhlasan anda menyertai PBS adalah kerana keinginan untuk membantu rakyat dan negeri. Namun, jika berpolitik semata-mata demi kepentingan diri sendiri, lebih baik tidak perlu menjadi ahli,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur yang juga Timbalan Ketua Bahagian PBS N.56 Tanjung Papat, Nelson Sikin, berkata penganjuran program tersebut membuktikan perjuangan PBS bukan milik mana-mana kaum, sebaliknya milik semua rakyat Sabah.
“Kami amat mengalu-alukan kehadiran semua ahli baharu sebagai keluarga besar PBS,” katanya.
Program berkenaan menyaksikan kemasukan seramai 150 ahli baharu ke dalam Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai oleh Alex Tan Chun Yaw.
Turut hadir Bendahari Agung PBS Datuk Lu Kim Yen; Naib Presiden PBS Datuk Linda Tsen; Ketua Exco Pemuda PBS Datuk Christoper Mandut; barisan Naib Presiden; Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (AMT); Ketua Bahagian PBS Tanjung Papat David Ong; Ketua-Ketua Bahagian PBS, serta Ahli Jawatankuasa Bahagian Induk, Pemuda dan Wanita di kawasan Parlimen Sandakan.





