
Pastikan tahap kebersihan bazar Ramadan sentiasa terjaga

Beaufort : Para peniaga bazar Ramadan diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan selain memastikan tahap kebersihan sentiasa terjaga.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, ia bagi memastikan juadah yang dijual dapat dinikmati pelanggan baik tanpa ada sebarang kemudaratan kepada pembeli.
“Pada hari ini (semalam) kita telah beramah mesra dengan peniaga bazar Ramadan yang terletak di tapak Dewan Bagandang Majlis Daerah Beaufort dimana saya difahamkan ada lebih 200 gerai dibuka.
“Justeru itu, kita menyarankan para peniaga untuk sentiasa mengawal dan mengikuti segala arahan daripada pihak berkuasa untuk memastikan tahap kebersihan dan kualiti makanan sentiasa terjaga agar dapat dinikmati oleh pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke bazar Ramadan daerah Beaufort di sini semalam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, menerusi bazar itu, para peniaga juga dapat meningkatkan ekonomi harian mereka khususnya ketika berdepan kos sara hidup pada masa ini.
“Pada hari ini juga kita telah memberikan risalah sebagai panduan berbuka puasa dan juga imsak selain sumbangan kurma untuk para peniaga berbuka puasa,” katanya.