Pasangan suami isteri juarai Larian Ulu Kadamaian kategori veteran di Kota Belud

editor@bayunews.net

KOTA BELUD (16 OKT): Pasangan suami isteri Guainus Salagan dan isterinya Kona Liau masing-masing mengungguli Larian Ulu Kadamaian 2022 kategori lelaki dan perempuan selepas menjuarai acara berkenaan di sini baru-baru ini.

Guainus berjaya menamatkan larian 17 kilometer dalam tempoh 1 jam 51 minit, manakala Kona pula menamatkan larian dalam masa 2 jam 32 minit.

Larian yang diadakan di Kg. Kiau Nuluh itu dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ulu Kadamaian (Kg. Kiau Taburi, Kg. Kiau Nuluh, Kg. Kiau Bersatu, Kg.Lobong-Lobong dan Kg. Kaung) dengan kerjasama Kadamaian Advencture Race Challenge (KARC).

Tempat kedua bagi kategori lelaki veteran, dimenangi oleh Gustin Tiam (1 jam 53 minit) dan ketiga, oleh Jasinin Bahangkat (2 jam 04 minit).

Bagi kagetori perempuan veteran pula, tempat kedua dimenangi oleh Rose Gimbalo (2 jam 35 minit) dan tempat ketiga oleh Stlea Thomas dengan catatan masa 2 jam 47 minit.

Pelari tempatan yang tidak asing lagi Jassica Lintanga menjuarai kategori perempuan terbuka dengan catatan masa 2 jam 34 minit, tempat kedua Sofia Raidin (2 jam 45 minit) dan ketiga oleh Ellystrina Jimes (2 jam 54 minit).

Juara bagi kategori lelaki terbuka pula ialah Jude Maikol (1 jam 45 minit), Willy Wilson Jafry (1 jam 46 minit) dan Pettry Osman (1 jam 49 minit).

Larian Ulu Kadamaian antaranya bertujuan mempromosikan keindahan alam semula jadi di kawasan itu, selain membantu merancakkan semula aktiviti eko pelancongan, agro tourism dan memberi peluang kepada pengusaha homestay di Ulu kadamaian.

Sementara itu, Pengarah Larian Ulu Kadamaian Geofarry Gunsalam berkata, acara itu mendapat sambutan amat menggalakkan dan mencapai sasaran dengan penyertaan 150 peserta.

“Oleh itu kami akan teruskan acara ini pada tahun depan dengan jarak larian yang lebih jauh dan mencabar iaitu 30 km, dijangka akan diadakan pada hujung bulan April 2023,” katanya.