
Parti Gagasan Rakyat Sabah kukuh perjuangan GRS: Hajiji

editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (2 MAC): Kehadiran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan memperkukuh citra perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu jajaran lokal dan formula tempatan.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, Gagasan Rakyat sebagai wadah “Solidariti Suara Sabah” akan membawa citra kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendokong agenda Sayangi Sabah menjadi landasan GRS dengan teras perjuangan ‘Sabah First, ‘Sabah Forward’, ‘Sabah Prosper’ dan ‘Sabah United’.
Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat turut meletakkan keyakinan, solidariti akan menjadikan suara Sabah lebih kuat dan berkesan.
“Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah, malah amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia,” katanya dalam Majlis Pelancaran Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Jelasnya, perubahan sentimen di peringkat akar umbi, rakyat Sabah mahukan parti tempatan bersifat lokal untuk menerajui kerajaan negeri.
“Memang benar, kita tidak seharusnya menolak kerjasama dengan parti nasional kerana kita perlu hidup dalam ekosistem federal dalam sebuah negara. Namun dari segi kerangka governan negeri, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang diterajui citra lokal.
“Kehadiran parti-parti bersifat nasional tetap relevan selagi semangat, teras dan agenda perjuangan negeri tidak sesekali dikompromi.
“Sinergi elemen lokal dan nasional perlu berlandaskan kepada prinsip meletakkan kepentingan negeri sebagai agenda keutamaan (Sabah First) dan memposisikan kepentingan negeri itu sebagai komponen penting agenda nasional.
“Ini kerana Sabah yang lebih maju dan jaya pastinya menyumbang kepada pembinaan Persekutuan Malaysia yang Madani iaitu konsep bercitrakan kemajuan yang lebih holistik merangkumi segenap aspek,” katanya.
Tambahnya lagi, rakyat Sabah mahu negeri ini dipayungi oleh kerajaan yang berciri multi-parti tidak hanya parti bersifat tunggal, sebuah kerajaan yang mempunyai elemen “check and balance” yang cukup kuat lagi inklusif.
Menurutnya, pengalaman panjang dan teladan tiga kerajaan pertama Sabah terdahulu sebenarnya adalah parti tempatan, tetapi bersifat ‘parti tunggal’.
Katanya, Sabah harus melaksanakan pembaharuan dengan model perkongsian kuasa yang lebih inklusif dan membina.