Orang ramai dinasihat kurangkan aktiviti luar ekoran cuaca panas kembali melanda

Beaufort : Orang ramai khususnya di daerah ini dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar berikutan cuaca panas yang kembali melanda negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, selain itu orang ramai juga diminta untuk sentiasa menjaga kesihatan selain minum air bersih dengan lebih banyak.

“Semalam daerah Beaufort telah dikategorikan sebagai kawasan yang mengalami cuaca panas tahap berjaga-jaga oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dimana suhu boleh mencecah sehingga 37 darjah celcius bagi tempoh tiga hari.

“Justeru saya menasihati agar orang ramai khususnya di daerah ini untuk sentiasa berhati-hati selain mengurangkan aktiviti luar rumah,,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk, asma dan lain-lain diminta untuk segera datang ke mana-mana hospital berdekatan.

“Bagi ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah, saya meminta agar anak anda jangan dibiarkan balik bersendirian terutama yang berjalan kaki demi keselamayan mereka,” katanya.

Semalam, MetMalaysia melaporkan Beaufort menjadi kawasan di Sabah yang mengalami cuaca panas tahap berjaga-jaga yang boleh mencecah suhu sehingga 37 darjah celcius.

Tahap gelombang haba itu boleh mencapai suhu maksimum harian yang melebihi 37 darjah Celcius hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Orang ramai boleh melayari https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mengetahui maklumat terkini status cuaca panas harian