Operasi mencari lelaki jatuh di Jambatan Sungai Padas giat dilakukan

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

TENOM (23 NOVEMBER): Seorang lelaki dikhuatiri terjatuh dari Jambatan Sungai Padas, dekat sini hari ini.

Menurut Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Zainal Sinsian berkata pihaknya mengiatkan usaha melakukan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) untuk mengesan mangsa di lokasi kejadian.

“Laporan awal diterima pada jam 10.26 pagi menerusi panggilan orang awam.

“Sepasukan pegawai serta anggota dari BBP Tenom digerakkan ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihaknya kini menjalankan operasi mencari di sekitar lokasi berhampiran mangsa dilaporkan hilang menggunakan sebuah bot.

Operasi mencari turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Difahamkan, belum ada maklumat berkenaan mangsa yang dilaporkan sepanjang operasi dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.