Operasi cari dan menyelamat nelayan hilang ditamatkan di Labuan

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

LABUAN (28 DIS): Operasi Carilamat (cari dan menyelamat) berhubung insiden nelayan hilang di perairan Pulau Kuraman dekat sini ditamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas tiada sebarang petunjuk ditemui dalam tempoh pencarian sejak Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, operasi CARILAMAT ditamatkan setelah menilai kepada keadaan semasa serta hasil perbincangan bersama pasukan penyelamat yang terlibat.

Tambahnya, pemantaun dan pencarian akan terus dilakukan semasa rondaan harian dan rondaan di persisiran pantai.

“Maritim Malaysia merakamkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat serta agensi-agensi yang terlibat dalam operasi itu.

“Orang ramai khususnya komuniti maritim juga perlu sentiasa peka terhadap aspek keselamatan semasa berada di laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, orang ramai juga diminta supaya peka terhadap ramalan kaji cuaca serta amaran-amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum melaksanakan sebarang aktiviti di laut.

Antara pasukan penyelamat terlibat dalam operasi CARILAMAT, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perikanan Malaysia serta individu-individu persendirian meluangkan kesudian membantu.