Murid patah jari, kipas siling jatuh dalam kelas
editor@bayunews.net
SELAMA (19 OKT): Malang ternyata tidak berbau. Begitulah juga dengan kejadian menimpa seorang murid perempuan di sekolah rendah dekat sini, semalam yang terlibat dengan insiden kipas siling jatuh di dalam kelas.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berumur lapan tahun patah jari tangan kiri dan tiga lagi rakan yang duduk berhampiran turut mengalami kecederaan ringan selepas kipas siling itu tiba-tiba jatuh.
Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 32, berkata meja anaknya itu terletak betul-betul di bawah kipas kelas berkenaan.
Beliau turut mendakwa anaknya juga mengalami beberapa kecederaan lain di bahagian dada.
“Disebabkan meja anak saya betul-betul terletak di bawah kipas itu, maka kecederaan dialaminya agak serius berbanding rakan lain.
“Sebaik saja dibawa ke hospital, doktor memaklumkan tulang jari tangan kirinya patah serta perlu disimen,” katanya ketika dihubungi.
Mohd berkata, beliau dan isteri agak terkilan kerana mendakwa pihak sekolah tidak menyegerakan rawatan kepada anaknya dan mangsa lain, sebaliknya menunggu ibu bapa hadir untuk membawa sendiri anak ke hospital.
“Ketika isteri tiba di sekolah, keadaan tangan anak sudah bertukar warna dan sepatutnya memerlukan rawatan segera. Namun, mereka masih meminta isteri mengisi buku log kebenaran keluar sekolah dan sebagainya.
“Kes ini kecemasan tetapi pengurusan sekolah memberi alasan mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Pendidikan.
“Bagaimanapun, saya dan isteri menerima seadanya kemalangan itu kerana ia bukanlah disengajakan. Cuma, kami terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang melambatkan proses rawatan ke atas anak saya dan mangsa lain,” dakwanya.
Mohd mendakwa, kipas yang terjatuh itu kelihatan uzur, berkarat dan tidak selamat untuk digunakan.
Beliau memaklumkan, anaknya diberikan cuti sakit selama 14 hari, dan masih trauma dengan kejadian yang berlaku.
Susulan itu, Mohd membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama pada petang semalam.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Mohd Sabri Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.