Monumen penanda arah kiblat tertinggi di Malaysia dibina di Gunung Kinabalu

RANAU : Gunung Kinabalu melakar satu lagi sejarah baharu apabila monumen penanda arah kiblat tertinggi di Malaysia dibina di ketinggian 3,930.40 meter dari aras laut.

Majlis perasmian Program Kembara Kiblat Gunung Kinabalu itu disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di sini pada Sabtu.

Program ini dianggap sebagai satu inisiatif dakwah berimpak tinggi yang menggabungkan ilmu falak, ibadah, teknologi, dan pemeliharaan alam sekitar dalam satu pendekatan unik dan praktikal.

Hajiji dalam teks ucapannya berkata, pembinaan monumen tersebut bukan sekadar simbol keagamaan, tetapi akan turut direkodkan dalam Malaysia Book of Records selain berpotensi menjadi rekod tertinggi di Asia bagi penandaan arah kiblat rasmi.

“Program ini bukan sekadar ekspedisi rekreasi, tetapi lambang perpaduan ilmu, iman, dan inovasi.

“Ia memberikan kemudahan kepada pendaki Muslim untuk menunaikan solat dengan yakin dan sempurna walaupun berada di puncak tertinggi negara,” katanya.

Katanya, pelaksanaan ibadah solat di ketinggian tertentu sering menjadi cabaran kepada pendaki muslim sama ada dari segi penentuan arah kiblat, kekangan air untuk wuduk, serta kesukaran masa dan tempat.

Justeru itu katanya, inisiatif penandaan arah kiblar ini adalah tepat pada masanya dan amat diperlukan.

“la bukan sahaja menyelesaikan masalah fiqh semasa pendakian, tetapi memberi keyakinan dan kemudahan kepada umat islam untuk menunaikan ibadah fardu dengan sempurna walaupun dalam suasana ekstrem,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, pihaknya yakin program seumpama itu akan memberikan impak besar dalam jangka panjang.

Katanya, ini termasuklah memudahkan pelancong muslim menunaikan solat dengan yakin dan selesa; meningkatkan literasi falak dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu ia dapat mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal yang mesra muslim; memberikan panduan fiqh praktikal untuk aktiviti rekreasi ekstrem dan menjadikan Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi fizikal tetapi juga lokasi spritual,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata,vKerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong usaha seumpama ini dan pihaknya percaya bahawa pendekatan seperti ini boleh dijadikan model rujukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Marilah kita terus memartabatkan syiar Islam, menyemarakkan dakwah dengan hikmah, dan menjadikan agama sebagai penyuluh dalam setiap aspek kehidupan-termasuk di puncak gunung,” katanya.