Mohd Arifin Terima Pelantikan Profesor Adjung UIS

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, telah dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Islam Selangor (UIS), satu pengiktirafan yang mencerminkan sumbangan beliau dalam bidang keilmuan dan dakwah Islam.

 

Pelantikan tersebut dimuktamadkan menerusi Majlis Serahan Watikah Pelantikan yang disampaikan oleh Naib Canselor UIS, Datuk Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, bertempat di Pejabat Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), di sini.

 

Mohd Arifin berkata, pelantikan berkenaan membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh jaringan kerjasama keilmuan antara Sabah dan Semenanjung, khususnya dalam bidang pendidikan Islam dan dakwah.

 

Menurut beliau, hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi Islam dan kepimpinan negeri amat penting bagi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada pembangunan ummah.

 

“Kerjasama ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa dakwah serta memastikan kesinambungan kemasukan anak-anak Sabah ke Universiti Islam Selangor, yang telah terjalin sejak sekian lama,” katanya.

 

Terdahulu, Mohd Arifin turut menerima kunjungan hormat Naib Canselor UIS yang membincangkan hala tuju dan bentuk kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak, khususnya dalam memperkasa pembangunan pendidikan Islam dan dakwah di peringkat nasional.