Minggu perpaduan negara peringkat nasional diadakan pada Mei

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (28 JAN): Minggu perpaduan negara peringkat nasional akan diadakan serentak di seluruh negara, Mei depan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata objektif utama penganjuran program tersebut adalah untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sambutan ini akan berlangsung selama seminggu melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan serta diisi dengan pelbagai program yang bermanfaat seperti pameran serta ceramah.

“Saya berharap melalui aktiviti kerjasama seperti ini, semangat perpaduan dapat ditingkatkan lagi selaras dengan prinsip-prinsip dalam Rukun Negara,” katanya kepada media selepas Majlis Perjumpaan dan Amanat Bersama Warga Kerja Kementerian Perpaduan Negeri Sabah di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Aaron turut memaklumkan kementeriannya kini giat merancang pelan tindakan pelaksanaan program bagi menyemarakkan semangat perpaduan.

“Pelbagai program dirangka dan diharap dapat meningkatkan kesedaran rakyat berbilang kaum betapa pentingnya perpaduan bagi membentuk sebuah negara yang harmoni, sejahtera serta stabil,” tambah beliau.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Halim; Setiausaha Bahagian Dasar dan Strategik Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud; Pengarah JPNIN Sabah, Delin Liet Blaun dan Pengarah Jabatan Arkib Sabah dan W.P Labuan, Mohamad Sharizal Omar.

Kira-kira 200 warga kerja Kementerian Perpaduan Negeri Sabah daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sabah, Jabatan Arkib Negeri Sabah dan Perpustakaan Negara Malaysia Negeri Sabah hadir pada majlis terbabit.