Hajiji pengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama selepas rombakan

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (18 JAN): Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Negeri di Menara Kinabalu selepas rombakan Kabinet minggu lalu.

Dalam mesyuarat itu, tiga menteri baharu yang dilantik turut menghadiri mesyuarat berkenaan antaranya Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew; (Datuk James Ratib (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat) dan Phoong Jin Zhe (Menteri Pembangunan Perindustrian).

Selain itu, turut hadir Timbalan Ketua Menteri II Datuk Ir Shahelmey Yahya yang turut memegang portfolio Menteri Kerja Raya.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengalu-alukan kehadiran Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim yang bercuti sakit sejak tahun lalu.

Menteri lain yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Menteri Pertanian dan Perikanan); Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan) dan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong.

Terdahulu, Masidi ketika dihubungi berkata, mesyuarat itu merupakan mesyuarat Kabinet biasa selain Ketua Menteri meminta agar semua menteri memberi tumpuan kepada tugas yang diamanahkan.

Katanya, ia penting bagi memastikan prestasi dan perkhidmatan semua Kementerian serta agensi dapat dipertingkatkan.

“(Intipati) hanya mesyuarat biasa. Cuma Ketua Menteri meminta semua menteri untuk tumpukan kepada tugas masing-masing untuk pastikan prestasi dan perkhidmatan semua kementerian dan agensi dapat dipertingkatkan,” katanya.