Mayat reput ditemukan di Keningau
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KENINGAU (15 FEB): Penemuan mayat lelaki yang telah reput mengemparkan penduduk di Kampung Ritting Apin-Apin, dekat sini.
Difahamkan, mangsa ditemukan oleh Ketua Kampung berkenaan di tepi Sungai Matanoi ketika sedang melakukan pemeriksaan paip graviti di lokasi kejadian dan sejurus itu beliau bertindak menghubungi pihak polis pada jam 9 malam.
Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya telah berjaya mengesan anak lelaki mangsa dan mengesahkan mayat berkenaan merupakan bapanya.
Menurut keterangan, bapanya telah keluar rumah sejak 7 Febuari lalu namun anaknya tidak membuat laporan polis kerana beranggapan mangsa masuk ke dalam hutan untuk memcari hasil hutan dan menjala ikan.
Hasil siasatan, mangsa dipercayai telah terjatuh ketika menjala ikan di tepi sungai terletak kira-kira 50 meter berhampiran rumahnya.
Mangsa ditemukan pada jarak 100 meter dari tempat kejadian dan dipercayai dihanyutkan air sungai yang deras kerana ketika itu hujan lebat.
Hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikan mati mengejut dan siasatan berhubung kejadian masih dijalankan.