Mayat lelaki dibaham buaya ditemukan

SEMPORNA: Mayat lelaki yang dilaporkan dibaham buaya ketika melakukan aktiviti memancing di Sungai Pegagau, di sini berjaya ditemukan, semalam.

Mangsa berumur 35 tahun, ditemukan penduduk kampung bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR), kira-kira jam 5 petang pada hari ketiga operasi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mayat mangsa ditemukan di tebing Sungai Pegagau, Peringkat 5 kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Katanya, reptilia itu dilihat masih berada berdekatan dengan mayat tersebut ketika pasukan keselamatan mahu mengambilnya.

“Mayat mangsa tersebut ditemukan dalam keadaan kurang sempurna iaitu hanya bahagian badan dan tangan kiri sahaja dijumpai.

“Polis kemudiannya membawa mayat mangsa ke Hospital Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Farhan menasihatkan masyarakat agar menghindari sebarang aktiviti di kawasan yang dipercayai ada kehadiran buaya.

“Masyarakat juga diminta untuk melaporkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL), sekiranya mengetahui atau mengesan kehadiran buaya di kawasan mereka,” katanya.

Terdahulu, mangsa bersama sepupunya telah melakukan aktiviti memancing di tepi Sungai Pegagau, di sini, kira-kira jam 3 petang, pada Ahad lalu.

Kedua-dua mereka diserang seekor buaya, namun sepupunya berjaya melarikan diri dan terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna. – Utusan Borneo