Masyarakat khusus golongan diseru manfaat perkhidmatan kesihatan

Beaufort : Masyarakat khususnya di daerah ini diseru untuk terus memanfaatkan perkhidmatan kesihatan terutama kepada remaja yang disediakan oleh fasiliti kesihatan di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, ia adalah bagi memastikan golongan remaja dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan berkualiti.

“Saya menyeru kepada masyarakat khususnya di sekitar pekan Weston dan kampung yang berhampiran untuk mengambil manfaat dari perkhidmatan kesihatan mesra remaja yang disediakan di Klinik Kesihatan Weston.

“Ini adalah agar golongan remaja kita menikmati kehidupan yang sejahtera, berkualiti dan diperkasa dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kesihatan Mesra Remaja anjuran Panel Kesihatan Weston dan Klinik Kesihatan Weston di Dewan Sri Dayang, Pekan Weston di sini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan turut gembira melihat kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan oleh jawatankuasa penganjur dan masyarakat sekeliling dalam menjayakan program itu.

“Saya dimaklumkan program ini menyediakan perkhidmatan seperti saringan kesihatan remaja dari segi fizikal dan mental, khidmat nasihat dan kaunseling, promosi dan pendidikan kesihatan serta perkhidmatan perawatan remaja.

“Tahniah kepada pihak penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini yang sangat bermanfaat untuk kita semua,” katanya.