
Maritim Malaysia tahan bot tempatan bawa PATI di perairan Sandakan

editor@bayunews.net
SANDAKAN (14 MAC): Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim di sini menahan sebuah bot kargo tempatan yang disyaki membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Bot yang mencurigakan itu ditahan pada jam 4.30 petang di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika barat daya Pulau Libaran.
Menurut Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, didapati bot berkenaan dikemudi oleh seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun bersama penumpang terdiri daripada tiga lelaki berusia 35 hingga 63 tahun dan tiga wanita berusia 22 hingga 60 tahun.
“Hasil pemeriksaan bot disyaki melakukan perjalanan dari Pulau Boan, Filipina menuju ke Sandakan.
“Seorang daripadanya pemegang pas IMM13 manakala lima lagi disyaki warga Filipina tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.
Jelasnya lagi, lesen bot yang membawa PATI turut telah tamat tempoh dan kesemua penumpang serta tekong ditahan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002.