Majlis tilawah Al-Quran beri peluang kepada anak muda ketengahkan mutu bacaan Al-Quran

Beaufort : Penganjuran majlis tilawah Al-Quran memberi peluang dan ruang kepada golongan muda untuk mengetengahkan mutu bacaan Al-Quran.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, acara yang dimulakan di peringkat zon itu juga memberi peluang kepada badan dakwah atau jawatankuasa terlibat untuk memilih peserta berbakat sebelum ke peringkat lebih tinggi.

“Di sini kita melihat, majlis yang diadakan diperingkat zon kecil dimulakan sebelum dilaksana di peringkat zon Gadong dan ia juga memberi ruang kepada golongan muda untuk menampilkan bakat dan mutu bacaan Al-Quran.

“Jadi ini sudah tentu salah satu usaha kita untuk memperkasakan mutu bacaan Al-Quran itu daripada peringkat akar umbi selain menarik minat masyarakat untuk sama-sama menghayati isi kandungan Al-Quran itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran dan Festival Kesenian Islam Peringkat zon Gadong di sini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan turut berharap penganjuran itu akan menjadi ikutan kepada golongan belia di zon lain untuk menyertai program seumpama itu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan majlis yang amat bermakna.

“Kepada semua peserta saya ucapkan syabas dan tahniah di atas penglibatan anda semua, semoga majlis ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.