MAJLIS KESYUKURAN DAN PENGHARGAAN SMA 2024–2025 TONJOL SEMANGAT JUANG ATLET MASTERS

TUARAN: Selupoh Masters Athletics Club (SMA) terus mengorak langkah memperkasa arena olahraga Masters apabila berjaya menganjurkan buat julung kalinya, Majlis Kesyukuran dan Penghargaan 2024–2025 di Linangkit Cultural Village, Tuaran dalam suasana penuh semangat kesukanan dan kebersamaan.

 

Majlis yang menghimpunkan hampir keseluruhan ahli kelab bersama keluarga masing-masing itu, sekali gus mencerminkan kekuatan solidariti komuniti atlet masters di daerah ini.

 

Kehadiran tetamu jemputan serta tokoh-tokoh sukan masters Tuaran seperti Timbalan Presiden Sabah Athletics Association, David William, Ombilod Onul dan Tarmizi Sandhu, turut menyerlahkan lagi prestij majlis.

 

Presiden SMA, James Patrick, berkata, penganjuran majlis itu bukan sekadar acara penghargaan, tetapi simbol kesyukuran atas perjalanan cemerlang kelab sejak penubuhannya pada 12 Jun 2024.

 

Beliau menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan penganjuran 1st Tuaran Athletics Masters Open Championship 2025 (TAMOC 2025) yang telah meletakkan SMA sebagai antara penggerak aktif pembangunan sukan Masters di Sabah.

 

James turut memuji komitmen luar biasa atlet-atlet SMA yang kekal berdisiplin, kompetitif dan berdaya tahan dalam mengharumkan nama kelab melalui kutipan pingat di pelbagai kejohanan peringkat daerah, negeri, kebangsaan hingga antarabangsa.

 

“Semangat juang, disiplin tinggi dan kesetiaan atlet masters SMA membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bersaing di pentas olahraga,” ujar beliau.

 

Penghargaan mendalam beliau kepada para penderma dan rakan strategik yang telah menyokong kejayaan TAMOC 2025, sambil menzahirkan harapan agar sokongan padu ini akan diteruskan menjelang penganjuran 2nd Tuaran Athletics Masters Open Championship 2026 (TAMOC 2026) pada 28 hingga 30 Mac 2026 di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

 

Pengiktirafan juga diberikan kepada penyumbang hadiah cabutan nama bertuah serta barisan Ahli Jawatankuasa SMA 2024–2026 yang menjadi tulang belakang pengurusan dan penggerak utama aktiviti kelab.

 

Majlis itu bukan sahaja meraikan pencapaian, malah memperkukuh tekad SMA untuk terus melahirkan atlet masters yang berdaya saing, berdisiplin dan bersemangat tinggi dalam memartabatkan sukan olahraga di Sabah.