Majlis Jom Sungkai panggilan kepada ibu bapa, berganding bahu kuatkan institusi keluarga

PUTATAN: Penganjuran Majlis Jom Sungkai merupakan panggilan kepada ibu bapa untuk berganding bahu dalam menguatkan institusi keluarga dalam membentuk akhlak dan nilai murni dalam diri anak-anak.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, ibu bapa diajak untuk turut serta dalam merakamkan kehadiran mereka, memberi sokongan moral yang amat diperlukan dalam membina jati diri yang kukuh pada anak-anak.

“Di sisi komuniti, program ini membuka pintu kepada penghayatan nilai-nilai kasih sayang dan kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Ia merupakan jambatan ke arah penyatuan hati dan semangat tidak kira latar belakang atau keperluan yang ada.

“Dalam suasana Ramadan yang penuh berkat ini, setiap individu diajak untuk turut serta dalam menyumbangkan kebaikan sesama, menebarkan keceriaan dan kebahagiaan kepada yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jom Sungkai Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Tuaran yang terletak di Putatan, semalam.

Sementara itu, Ruslan turut menyatakan hasratnya untuk terus cuba membantu menyumbangkan lagi segala bentuk keperluan kepada pihak sekolah pada masa-masa akan datang.

“Sumbangan ini tidak terhad hanya kepada fasiliti dan peralatan pengajaran sahaja, malah bantuan berbentuk kewangan yang diperlukan untuk menjamin kejayaan pendidikan dan perkembangan murid-murid di sekolah ini.

“Sumbangan ini juga bukan hanya sekadar bentuk sokongan, tetapi juga komitmen kami dalam memastikan bahawa setiap murid memperoleh persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyokong pertumbuhan mereka sebagai individu,” katanya.