SEYBI SABBY
editor@bayunews.net
KUDAT (17 NOVEMBER): Seorang kanak-kanak lima tahun dekat sini berdepan detik cemas apabila jari tengah tangan kirinya tersekat dengan nat skru besi, kelmarin.
Difahamkan, mangsa hanya bermain-main dengan skru berkenaan sebelum ianya tiba-tiba tersekat kira-kira jam 9.40 pagi.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kudat oleh ahli keluarga bagi mendapatkan bantuan lanjut selepas usaha mengeluarkan nat gagal.
Pihak hospital kemudian menghubungi bomba bagi membantu mengeluarkan nat skru berkenaan.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.49 pagi.
Bertindak dengan maklumat sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat bergegas ke lokasi kejadian.
“Kami menggunakan peralatan khas untuk memotong nat itu,” katanya pada kenyataan.
Menurutnya, operasi menyelamat mengambil masa selama satu jam sebelum nat berjaya ditanggalkan.
Mangsa hanya mengalami bengkak di bahagian jari tengah.
Operasi ditamatkan pada jam 10.42 pagi.