MAFFI Perkukuh Keselamatan Makanan Sabah, Kurangkan Import Secara Berperingkat

KOTA KINABALU : Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah akan terus memperkukuh keselamatan makanan negeri dengan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan secara berperingkat melalui peningkatan pengeluaran tempatan.

 

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, strategi itu menjadi keutamaan utama kementerian dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran padi dan beras, sektor ternakan seperti lembu dan ayam, selain sayur-sayuran serta perikanan bagi menjamin kestabilan harga, kelangsungan bekalan dan kebajikan rakyat.

 

Menurut beliau, usaha berkenaan perlu disokong dengan peningkatan produktiviti dan pemodenan sektor pertanian serta perikanan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta Sambutan Tahun Baharu 2026 di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah, di sini, hari ini.

 

Jamawi menegaskan bahawa sektor pertanian, perikanan dan industri makanan merupakan tonggak strategik pembangunan Sabah, bukan sahaja bagi menjamin keterjaminan makanan, malah memperkukuh daya tahan ekonomi serta menjana pendapatan masyarakat luar bandar.

 

“Segala perancangan dan pelaksanaan kementerian mesti selari dengan agenda Sabah Maju Jaya serta diperkukuh melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

 

Beliau turut menekankan keperluan mempercepatkan peralihan kepada pertanian pintar melalui penggunaan mekanisasi, amalan pertanian berketepatan tinggi serta pemanfaatan data, teknologi dan inovasi dengan kerjasama universiti serta institusi penyelidikan.

 

Mengulas penglibatan belia, Jamawi berkata masa depan sektor pertanian dan perikanan Sabah amat bergantung kepada golongan muda dan sektor itu perlu diposisikan sebagai kerjaya yang berdaya maju, bermaruah serta menguntungkan.

 

“Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan agropreneur belia, memperkasa perniagaan dan koperasi baharu serta menambah baik akses kepada tanah, pembiayaan dan sokongan teknikal,” katanya.

 

Dalam masa sama, pemerkasaan petani, nelayan dan komuniti luar bandar kekal sebagai fokus utama bagi meningkatkan pendapatan golongan sasar serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

 

Jamawi turut menegaskan kepentingan tadbir urus yang baik, sistem penyampaian yang cekap serta integriti tinggi dengan toleransi sifar terhadap ketirisan dan ketidakcekapan, selain menggesa semua pegawai kementerian dan agensi berkaitan agar lebih proaktif turun ke lapangan menyelesaikan isu rakyat.

 

Beliau berkata, kerjasama antara agensi juga perlu diperkukuh dengan memecahkan silo antara jabatan, agensi persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta melalui perkongsian awam-swasta.

 

Menghadapi cabaran perubahan iklim, katanya, MAFFI akan menggalakkan amalan pertanian lestari, penggunaan tanaman berdaya tahan iklim serta pengurusan tanah secara bertanggungjawab.

 

Bagi memastikan semua inisiatif mencapai sasaran, penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas akan dilaksanakan di peringkat jabatan, agensi dan ketua program, disertai pemantauan serta pelaporan berkala.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata MAFFI akan melancarkan Inisiatif Kebun Dapur secara berstruktur di seluruh Sabah bagi menggalakkan isi rumah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mengusahakan tanaman, ternakan kecil serta perikanan skala kecil.

 

Beliau berkata, Inisiatif Jelajah Kebun Dapur pertama akan dilancarkan di daerah Tuaran dan dirasmikan oleh Ketua Menteri bulan depan dengan pendekatan mentor-mentee bagi menarik minat generasi muda.

 

“Melalui bimbingan secara langsung, kita berhasrat melahirkan lebih ramai agropreneur muda yang bukan sahaja mahir dari aspek teknikal, malah cekap dalam pengurusan dan pemasaran, selaras dengan penerapan teknologi pertanian pintar, automasi dan Internet Benda,” katanya.

 

Dalam Belanjawan 2026, MAFFI diperuntukkan RM559.85 juta, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memacu sektor pertanian demi kesejahteraan petani, penternak, nelayan dan usahawan tani.