
‘Lumadan Sejahtera’ Bukan Sekadar Slogan – Ruslan Muharam

BEAUFORT : Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam menegaskan komitmennya untuk memastikan pembangunan di kawasan Lumadan terus berjalan secara menyeluruh melalui inisiatif ‘Hala Tuju Lumadan Sejahtera’.
Katanya, hala tuju itu merangkumi aspek infrastruktur, kemudahan asas, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Menrut beliau, antara keutamaan kini ialah menaik taraf jambatan dan sistem perhubungan jalan raya yang menjadi nadi pergerakan penduduk di kawasan tersebut.
“Kita menerima banyak aduan dan kita ambil langkah sewajarnya kerana jambatan ini memang perlu dinaik taraf.
“Ia sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan Lumadan benar-benar sejahtera, bukan hanya dari segi pendidikan dan agama, tetapi juga infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketiak meninjau kerja naik taraf Jambatan Sungai Lubok, Weston di sini.
Selain itu, Ruslan turut memaklumkan bahawa pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja mendalamkan Sungai Lubuk dan Sungai Teluk Bobos, yang selama ini tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Sungai Lubuk ini kita dalamkan tahun lepas. Dulu nelayan susah turun ke laut waktu pagi sebab air cetek, terpaksa guna dayung. Sekarang mereka boleh terus guna enjin bot ke laut,” jelasnya.
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja membantu nelayan setempat, malah meningkatkan keselamatan dan kelancaran aktiviti ekonomi komuniti pesisir.
Dalam masa sama, Ruslan turut menambah bahawa isu banjir di kawasan Lubuk kini semakin terkawal selepas kerja-kerja pembersihan parit dilaksanakan.
“Dulu bila banjir, air lambat surut sebab parit tersumbat. Tapi sekarang, bila kita bersihkan, air cepat turun,” katanya.
Pembangunan lain di bawah inisiatif Lumadan Sejahtera turut merangkumi naik taraf jalan simen dan bertar, baik pulih dewan, pembinaan gelanggang sukan serta penyelesaian masalah bekalan air yang sekian lama membelenggu penduduk.
“Sebelum ini, air hanya ada seminggu dalam sebulan. Tapi selepas kita bina tangki takungan, masalah itu dapat diatasi. Kadang-kadang ada gangguan kecil di loji, tapi itu perkara biasa,” ujarnya.
Menurut Ruslan, kerja pembinaan Pan Borneo yang melibatkan jajaran paip utama juga menjadi antara punca gangguan bekalan air sebelum ini, namun langkah penyelarasan telah dibuat bersama pihak berwajib.
Beliau menegaskan, segala usaha ini membuktikan bahawa Lumadan Sejahtera bukan sekadar slogan, tetapi satu gerakan pembangunan menyeluruh yang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.