Lompatan Harimau Curi Tumpuan Tun Juhar

KOTA KINABALU : Aksi lagak ngeri Lompatan Harimau Tempur Tanpa Senjata (TTS) curi tumpuan Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin dan hadirin pada  Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2022 di sini semalam.

Lagak ngeri melepasi gelung api dan lima anggota tersebut bertujuan menguji keberanian diri dan mengurangkan risiko kecederaan kepada anggota ketika berada di medan pertempuran.  

Berkonsepkan tangkas, berani dan gerun, TTS dipersembahkan oleh 100 anggota Angkatan Tentera Malaysia diketuai Mejar Amir A. Johari selaku pegawai pemerintah lima kor Polis Tentera Diraja atas bimbingan jurulatih Lima Divisyen Infantri Malaysia berpusat di Kem Lok Kawi.

Selain Lompatan Harimau, terdapat juga gerakan Bunga Sembah, Pergerakan Lawang, Bertarung Rapat Buah Kilas Mengilas dan pemusnahan.

Gerakan Bunga Sembah menggabungkan teknik tumbukan, tangkisan, tendangan dan rebahan untuk meningkatkan semangat selain melambangkan kekuatan kerjasama berpasukan. 

Pergerakan Lawang adalah satu pelajaran wajib kepada anggota untuk ujian kenaikan gred dalam TTS dan mesti dilakukan dengan betul serta penuh penghayatan kerana setiap pergerakan seninya mempunyai maksud tersembunyi.

Ketika kehabisan peluru di medan pertempuran, teknik  Bertarung Rapat Buah Kilas Mengilas tanpa menggunakan sebarang senjata membolehkan anggota bertarung  senyap untuk mematahkan seterusnya menghapuskan pihak musuh./Penerangan