Lima pusat tahfiz terima infaq RM25,000 dari Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (14 MAC): Lima buah pusat tahfiz menerima infaq berjumlah RM25,000 dari Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), di sini.

Infaq berkenaan diserahkan kepada Ma’had Tahfiz Miftahul Ulum Tanjung Aru, Tahfiz Al-Quran Bahrul Ulum Kampung Warisan Inanam, Maahad Tahfiz Assohabah Kampung Lobou Menggatal, Darul Hadis Lil Banat Sipanggil Putatan dan Al-Tahfiz Bayu Syuhadah Ranau. 

Penyerahan infaq turut disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ariffin Mohd Arif selaku Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam Sabah.

Menurut Pengerusi PBNS Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar berkata, kesemua pusat tahfiz masing-masing menerima infaq bernilai RM5,000 dan disalur menerusi dalam talian ke akaun institusi.

Katanya, setakat ini PBNS telah berjaya menyalurkan sebanyak RM241,450 di bawah bantuan institusi tahfiz bagi tahun 2022

Omar Raisul ditemui media pada Majlis Penutupan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Bandaraya (KK I-Fest 2023) di Padang Merdeka, dekat sini pada Ahad malam.

Pada majlis itu juga, lima pusat tahfiz terbabit masing-masing menerima sumbangan RM1,000 daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah.

Untuk rekod, KK I-Fest merupakan festival tiga hari yang memartabatkan seni dan budaya Islam dan majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun  Juhar Mahiruddin pada Jumaat malam.

Turut Hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Awang Faisal Assyiffa, Pegawai PBNS, Hazran Abdul Basir, Mohd Shahir Mohd Tahir serta Zulfiqri  Mohd Jaya.