Lima kenderaan musnah insiden bengkel terbakar di Menggatal

Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (2 FEB): Sebuah bengkel kereta di sini terbakar memusnahkan lima kenderaan termasuk sebuah motosikal di Kampung Pulutan di Jalan Kolonsi, Menggatal, di sini.

Kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi telah memusnahkan sama sekali struktur bengkel berkeluasan 40 x 20 kaki berkenaan.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah dalam satu kenyataan berkata, lima kenderaan yang musnah membabitkan Proton Iswara, Perdana, Perodua Kembara, Jeep dan sebuah motosikal Honda Ex5.

“Sebuah Proton Iswara dan Perdana dan sebuah motosikal Honda Ex5 terbakar 100 peratus manakala sebuah Perodua Kembara dan sebuah Jeep terbakar 30 peratus.

“Sebuah kenderaan jenis Suzuki Jimny berjaya diselamatkan daripada terbakar,” katanya.

Tiada mangsa cedera atau kemalangan jiwa berlaku.

Operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan sumber air jentera dan dua sistem salur bantu mula atau lebih dikenali dengan hose reel system.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.56 pagi tadi.