Lima individu terlibat insiden rusuhan ditahan ketika hari penamaan calon

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (15 NOVEMBER): Lima individu berumur lingkungan 18 tahun ke atas ditahan kerana dipercayai terlibat melakukan rusuhan berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Sabah.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 147 KK kerana melakukan rusuhan di perkarangan pusat penamaan calon Dewan DSP Antanom Tenom 5 November lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata dalam satu kenyataan, mereka yang terlibat itu telah dibebaskan dengan jaminan polis dan pihaknya sedang mengemas kini kertas siasatan bagi mengambil tindakan lanjut serta merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Dalam tmpoh 24 jam, Kontinjen Sabah meluluskan 520 permit ceramah dan kempen PRU-15 di seluruh negeri menjadikan sejumlah 3,476 kumulatif permit yang diluluskan bermula 5 hingga 14 November.

Untuk rekod, Lahad Datu menjadi jumlah paling tinggi dalam tempoh 24 jam dengan 93 permit.

Setakat ini, pihaknya telah menerima 14 laporan polis menjadikan 85 laporan dengan 15 kertas siasatan sudah dibuka.

Seramai 11,835 warga PDRM Kontinjen Sabah berdaftar sebagai pengundi merangkumi 9,116 bagi pegawai dan anggota termasuk pasangan bagi Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengundi awal manakala 2,719 adalah pengundi pos.

Pengundian awal dilaksanakan melalui 41 pusat mengundi dengan 47 saluran termasuk 1,086 yang akan membuang undi di dua saluran bagi pusat mengundi Mes Pegawai Kanan Polis IPK Sabah.

Terdahulu, 2,719 pegawai dan anggota bagi Kontinjen Sabah sudah melaksanakan undi pos merangkumi 1,721 bagi PGA dalam kontinjen dan 90 bagi PGA luar kontinjen.

295 yang lain adalah pengundi dalam kontinjen Sabah tetapi lokaliti luar dari kontinjen manakala 119 undi pos dihantar melalui pengundi di luar kontinjen.