Letupan Paip Gas ragut satu nyawa, dua cedera di Lawas

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (17 NOVEMBER):  Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini mengesahkan satu kebakaran berlaku lewat tengah hari kelmarin membabitkan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) berhampiran KP132 di Lawas, Sarawak.

Menurut satu kenyataan syarikat itu, insiden dipercayai berpunca daripada kerja-kerja yang dijalankan oleh pihak ketiga berdekatan kawasan izin lalu (Right-of-Way) SSGP.

Bagaimanapun, kerja-kerja berkenaan tiada kaitan dengan operasi saluran paip terbabit.

“Laporan polis juga sudah dibuat dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan,” jelas syarikat itu.

Petronas turut menggerakkan Pasukan Bertindak Kecemasan ke kawasan insiden dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam mengawal situasi serta memastikan keselamatan komuniti dan kawasan sekitar.

Kelmarin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesahkan seorang maut manakala dua lagi cedera akibat melecur dalam letupan saluran SSGP milik Petronas di Long Ugui, Lawas pada jam 2.49 petang itu.

Letupan dan kebakaran dalam insiden itu dianggar berlaku pada jarak radius sekitar 400 meter membabitkan sebuah motosikal, sebuah ekskavator, sebum bulldozer dan sebuah lori.

“Seorang mangsa disahkan meninggal semasa berada dalam ekskavator manakala dua lagi mangsa telah cedera melecur di beberapa anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Hadi Wiyono manakala dua yang cedera hanya dikenali sebagai Hendrick dan Gabriel Meripa.