
Lelaki warga tempatan rogol budak lapan tahun diberkas di Semporna

editor@bayunews.net
SEMPORNA (24 OKT): Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis kerana disyaki merogol seorang kanak-kanak berumur lapan tahun di Pekan Semporna.
Menurut satu kenyataan Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah di sini melakukan tangkapan ke atas suspek berusia 40 tahun di rumah tidak bernombor jam 2.30 pagi Jumaat.
Tangkapan dilakukan sejurus menerima laporan ibu saudara kanak-kanak malang itu pada Khamis.
Mangsa bukan warganegara dipercayai dibawa lelaki menaiki kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari Pekan Semporna ke lokasi tidak diketahui kira-kira jam 8.30 malam.
Sekitar jam 9.30 malam, mangsa ditemui oleh rakannya berada dalam keadaan lemah di belakang sebuah pasaraya di sini.
Mangsa memaklumkan menjadi mangsa rogol oleh suspek sebelum dihantar ke lokasi dia ditemui.
Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Semporna sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Mohd Farhan berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun atau tidak lebih 30 tahun dan disebat, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang awam atau saksi agar tampil membantu siasatan, dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Adham Ramli pada talian 011-10145004 atau balai polis berdekatan.