Lelaki warga tempatan pecah masuk rumah ditangkap orang awam
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.com
KENINGAU (1 NOV): Seorang lelaki berusia 40 an memecah masuk sebuah rumah di kawasan taman perumahan dekat sini berjaya ditahan orang awam.
Suspek warga tempatan itu cuba melarikan diri menggunakan kenderaan jenis sedan berwarna hitam menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Menurut Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam apabila suspek diberkas dan dipercayai terlibat dengan kes pecah rumah kira-kira jam 2.30 petang.
Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dengan kesalahan menceroboh rumah untuk mencuri.
Sementara itu, Nor Rafidah mengucapkan terima kasih kepada orang awam dan masyarakat yang membantu sehingga tertangkapnya suspek.
Pihaknya turut turut mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan video tular di media sosial supaya tidak menjejaskan siasatan polis.