Lelaki warga Indonesia dibaham buaya ketika memancing di Sungai Semba
BINTULU (19 SEPT): Seorang lelaki dikhuatiri disambar seekor buaya semasa sedang memancing di Sungai Semba berhampiran kawasan Taman Perindustrian Samalaju (SIP) pada Ahad malam.
Semasa kejadian, mangsa warganegara Indonesia yang dikenali sebagai Hermanto, 40, dikatakan sedang memancing di sungai terbabit sebelum disambar dan dibaham reptilia ganas itu.
“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju dikerahkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan berhubung insiden terbabit sekitar jam 10.20 malam bagi mencari serta menyelamat mangsa,” jelas Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad.
Beliau berkata, sejurus sampai di lokasi dinyatakan, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan serta pemantauan selama satu jam di kawasan mangsa dipercayai dibaham buaya, namun gagal menemui sebarang petanda.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa jelasnya terpaksa ditangguhkan kerana hari sudah lewat malam dengan mengambil kira akan faktor keselamatan pasukan penyelamat.
Menurut laporan awal yang diterima, semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang memancing di sungai sebelum disambar seekor buaya.
“Pengadu yang juga saksi kejadian yang merupakan rakan senegara mangsa sempat melihat buaya berkenaan menyambar lalu membaham mangsa yang ketika itu berada di kawasan seberang sungai sebelum diseret oleh haiwan ganas itu ke dasar sungai lalu tenggelam,” tambah beliau.
Sumber: Utusan Borneo