Warga emas putih mata ditipu RM37,000
editor@bayunews.net
SIBU (24 OKT): Seorang lelaki warga emas berputih mata selepas ditipu dalam pakej pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi telefon pintar.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa, 65, menerima mesej daripada nombor yang tidak dikenali menawarkan dua jenis pelaburan iaitu Octa Fx Asia dan Octa Fx Syariah pada 27 September lalu.
Mangsa telah bersetuju menyertai pelaburan Octa Fx Syariah melalui pakej dengan modal RM7,000 yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak RM140,000.
Selang sehari mangsa melakukan pembayaran dengan modal pelaburan berjumlah RM7,000 ke akaun yang diberikan melalui mesin deposit tunai (CDM) di sebuab bank.
Teruja dengan keuntungan itu bertindak mangsa menambah sekali lagi modal pelaburan dengan membuat pembayaran sebanyak RM1,000 pada 19 Oktober lalu bagi meraih keuntungan sebanyak RM15,000.
“Tidak cukup dengan itu mangsa diminta membuat tiga kali pembayaran lagi sebanyak RM20,000, RM5,000 dan RM4,000 sehari kemudian kononnya untuk menebus hadiah pelaburan.
“Mangsa mula berasa curiga dengan pelaburan yang disertainya ini apabila sering kali diminta membuat pembayaran tetapi tidak pernah menerima keuntungan seperti yang dijanjikan,” katanya.
Sehubungan itu, Zulkipli berkata, mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis pada Sabtu lalu selepas menyedari dirinya ditipu.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan skim pelaburan yang yang menjanjikan pulangan keuntungan yang tidak munasabah dan mencurigakan.
“Dalam usaha membanteras penipuan pelaburan, orang ramai mesti memberi perhatian dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.