Lelaki warga emas maut dirempuh pacuan empat roda di Tawau
editor@bayunews.net
TAWAU (4 OKT): Seorang lelaki warga emas dekat di sini maut selepas dirempuh pacuan empat roda di Batu 14 Jalan Apas, semalam.
Kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mengakibatkan lelaki berumur 68 tahun berkenaan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Jasmin Hussin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.03 petang.
Katanya, hasil siasatan awal, pemandu pacuan empat roda yang berumur 56 tahun itu memandu dari arah Semporna menuju bandar Tawau.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa tiba-tiba muncul dari celahan pokok sebelah kanan dan terus melintas ke kiri jalan.
“Pemandu pacuan empat roda berkenaan kemudian cuba mengelak, namun tidak sempat akibat jarak terlalu dekat lalu melanggar mangsa,” katanya menerusi laporan Utusan Borneo, di sini hari ini.
Menurut Jasmin, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah.
“Lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.