Lelaki rompak kedai emas guna tukul besi di Wisma Merdeka lolos

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (8 NOVEMBER): Seorang lelaki berjaya meloloskan diri selepas melakukan rompakan di sebuah kedai emas tingkat bawah pusat membeli-belah di Wisma Merdeka dekat sini, kelmarin.

Difahamkan kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, suspek mengenakan topi, pelitup muka dan sarung tangan bertindak memecahkan rak meja perhiasan berkaca kedai emas itu dengan penukul besi.

Ketika kejadian suasana pusat membeli-belah itu agak lengang. Rata-rata pekerja dan pemilik kedai berhampiran juga tidak menyedari rompakan itu berlaku.

Difahamkan pemilik kedai cuba mengejar suspek namun gagal.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek serta jumlah kerugian.

Pihaknya turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes rompakan itu tampil untuk membantu siasatan.