Lelaki 25 tahun hilang di hutan Kampung Kitapol Kiulu
editor@bayunews.net
TUARAN (15 OKT): Seorang lelaki dikhuatiri hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Kitapol, Kiulu sejak Selasa lalu.
Mangsa Ireneus@Hendry Anthony, 25, dilaporkan kali terakhir dilihat selepas keluar rumah untuk ke rumah datuknya.
Mangsa dikatakan menggunakan laluan jalan kebun getah dan hutan di Kampung Sinansag, Kiulu.
Datuknya turut menghubungi ibu mangsa kira-kira jam 6 petang sebelum memaklumkan anaknya masih belum pulang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 3 petang, Rabu.
Katanya, seramai sepuluh anggota, Unit Dron serta Unit Anjing Pengesan (K9) bergegas ke lokasi kejadian dengan satu kenderaan utiliti Fire Response Vehicle (FRV) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Pihak bomba dimaklumkan, usaha penduduk kampung mencari mangsa dijalankan sejak hari pertama kejadian berlaku namun gagal sebelum mendapatkan bantuan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak Rabu ditangguhkan pada jam 7 malam Khamis dan disambung semula jam 8.30 pagi, hari ini (kelmarin).”
“Operasi turut disertai bantuan unit anjing pengesan (K9), unit dron, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lebih 30 penduduk kampung,” katanya.
Abdul Qawie berkata, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.