Lebih 200 orang meriahkan Senam Tari Zumba sempena Bulan Kebangsaan

KOTA KINABALU : Lebih 200 masyarakat sekitar daerah ini hadir memeriahkan program Senam Tari Zumba sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2022.

Program anjuran UMNO Bahagian Kota Kinabalu itu berlangsung di Taman Awam Tanjung Lipat Likas dan dirasmikan isteri kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datin Salina Mohd Usman.

Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu Musliati Moslimin berkata, program julung kali diadakan selepas dua tahun pandemik COVID-19 itu adalah bagi menyemarakkan lagi semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September ini.

Katanya, selain Senam Tari Zumba, turut diadakan Pertandingan mewarna yang melibatkan kanak-kanak TADIKA Kemas dan murid sekolah rendah sekolah Kota Kinabalu.

“Jadi program ini sudah tentu akan dapat mengeratkan lagi lagi silaturrahim dikalangan warga Kota Kinabalu khususnya mereka yang hadir sama pada program seperti ini seterusnya sama-sama menyemarakkan lagi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Selain penganjuran program ini, kita juga ada menganjurkan program video pendek TikTok yang telah mula diadakan pada awal Ogos lalu dan penyampaian hadiah akan dilaksanakan pada 15 September ini. Video TikTok ini juga adalah berunsurkan Bulan Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program itu di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, Salina turut menyeru masyarakat khususnya di sekitar bandaraya Kota Kinabalu untuk terus bergiat aktif menyertai aktiviti serta program berunsur kesihatan.

Katanya, aktiviti seumpama itu juga akan dapat membantu masyarakat terhindar dari penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit kronik.

“Pada hari ini saya hadir program yang julung kalinya pernah saya ikut, justeru saya berharap pada masa akan datang, program seumpama ini iaitu yang berunsur kesihatan akan terus dilaksanakan kepada masyarakat setempat.

“Saya juga berharap agar penduduk di kawasan Kota Kinabalu ini untuk sama-sama mengikuti aktiviti seperti ini kerana ini sangat bagus untuk menjaga kesihatan selain menurunkan berat, kolesterol, darah tinggi dan kencing manis. Lebih-lebih lagi ia dilakukan pada hujung minggu,” katanya.

Katanya, aktviti yang diadakan pada hujung minggu merupakan waktu yang terbaik dalam mengaktifkan diri dalam aktiviti sukan.